Tuesday, September 8, 2009

ANUGERAH.. anak & ramadhan


Salam Ramadhan mentarbiah jiwa merdeka bersama kemulian Ramadhan Al-Mubarak.. Ibubapa berhadapan dengan cabaran mendidik anak disuasana persekitaran moden yang segalanya berubah, segalanya pantas dan segalanya diluar kawalan kita sebagai ibubapa kerana hari ini kita dianugerahkan anak-anak yang lebih bijak dan pandai daripada kita. Kita dulu dididik cara pendidikan tradisional yang ilmu/petua/gurindam/seloka hanya disampaikan oleh ibu bapa dan kita menjadi anak yang taat serta mendengar kata tetapi hari ini anak-anak kita bukan saja dididik oleh ibu bapa tetapi dunia digital, dunia eletronik , gudang-gudang buku yang diterbitkan tanpa tapisan dan dunia persekitaran yang modenisasinya terlalu pantas, sukar dikawal menyebabkan perubahan tingkah laku anak dari segi disiplin, kesopanan dan adab di luar kotak pemikiran kita.
Apa pun tahniah kepada para ibubapa.. Sempena ramadhan ini, Hari ini para ibubapa terus berusaha dan dahagakan ilmu-ilmu baru dan saya percaya di dalam kemulian ramadhan ini ada kesempatan merungkai banyak kaedah-kaedah pendidikan cara moden tetapi berlandaskan ketakwaan dan ketuhanan.
Saya nak berkongsi kaedah mendidik anak kerana saya kira corak pendidikan kita mungkin akan mempengaruhi tingkahlaku anak-anak kita. Corak pendidikan yang autokratik , agak keras/garang akan melahirkan anak-anak yang ganas secara pasif, mudah marah, aras kebimbangan dan kemurungan yang tinggi dan tiada matlamat. Kalau kita mengamalkan corak pendidikan yang longgar / laissez faire , terlalu beri kebebasan yang keterlaluan pastinya anak kita hanyut dalam dunia tanpa matlamat, buat keputusan ikut nafsu, tak mampu kawal diri dan selalu langgar peraturan. Mungkin cara terbaik adalah cara demokratik, penuh bimbingan, perhatian, kasih sayang dan dipandu dalam membuat keputusan.

Kata pujangga.........
Jika anak-anak hidup dalam kritikan, mereka akan belajar mengutuk.
Jika anak-anak hidup dalam permusuhan, mereka akan belajar bergaduh.
Jika anak-anak hidup dalam keaiban, mereka akan sentiasa berasa bersalah.
Jika anak-anak hidup dalam toleransi, mereka akan belajar menjadi penyabar.
Jika anak-anak hidup dengan sanjungan, mereka akan belajar menghargai.
Jika anak-anak hidup dengan saksama, mereka akan belajar menjadi adil
Jika anak-anak hidup dengan kesejahteraan, mereka akan hidup menjadi setia
Jika anak-anak hidup dengan kebenaran, mereka akan belajar menghargai diri.
Jika anak-anak hidup dengan persahabatan,mereka akan belajar kasih sayang.

No comments: