Tuesday, August 11, 2009

PENJELASAN : penstrukturan semula bekalan air selangor



A. LATAR BELAKANG PENSWASTAAN PERKHIDMATAN AIR SELANGOR

Selangor telah menswastakan perkhidmatan airnya kepada empat operator iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) dan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) untuk rawatan air manakala Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk pengagihan air. Kerajaan Negeri Selangor memegang ekuiti di dalam Abass (55%), Splash (30%) dan Syabas (30%). Sesetengah aset yang dikendalikan oleh operator-operator tersebut adalah berbentuk bina-kendali-pindah milik (BOT) dan terdapat juga yang dipajak daripada Kerajaan Negeri.

B. APAKAH POLISI KERAJAAN PERSEKUTUAN DALAM PENSTRUKTURAN SEMULA PERKHIDMATAN AIR?

Polisi yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam penstrukturan semula perkhidmatan air adalah berdasarkan model asset light di mana operasi operator-operator akan menumpukan kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan kos manakala perbelanjaan modal (Capex) akan dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. PAAB akan mengambil alih aset dan tanggungan berkaitan aset daripada operator-operator sedia ada. PAAB berupaya untuk mendapatkan kos dana yang lebih rendah dan tempoh pinjaman yang lebih panjang menerusi penarafan kreditnya yang lebih baik. PAAB akan dilesenkan dan dikawal selia oleh SPAN dan semua perolehan perbelanjaan modal adalah telus.


C. ADAKAH KERAJAAN PERSEKUTUAN BOLEH MEMBENARKAN KERAJAAN NEGERI MENGEKALKAN PERKHIDMATAN AIR DALAM STRUKTUR YANG SEDIA ADA?

Struktur perkhidmatan air sedia ada adalah tidak mapan dan pengguna akan dibebankan dengan tarif yang tinggi. Di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), syarikat konsesi diberi tempoh selama 1 tahun untuk menyatakan hasratnya untuk berhijrah ke rejim pelesenan. Bagi mereka yang tidak berhasrat untuk berhijrah ke rejim pelesenan akan diberi kuasa untuk beroperasi sehingga tamat konsesi tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh SPAN.

SPAN juga akan mengawal selia syarikat-syarikat yang diberi kuasa untuk beroperasi khasnya dari aspek kualiti air seperti termaktub dalam Seksyen 193 Akta IPA 2006. Walau bagaimanapun memandangkan Kerajaan Negeri Selangor mempunyai perjanjian-perjanjian penswastaan dengan keempat-empat syarikat konsesi yang masih sah, maka obligasi-obligasi yang terkandung dalam perjanjian-perjanjian ini masih perlu dipatuhi. Ini akan membebankan pihak Kerajaan Negeri dan juga pengguna.


D. KENAPA PENSTRUKTURAN INI PERLU DIPERCEPATKAN?

Cadangan penstrukturan semula ini perlu disegerakan bagi melindungi kepentingan pengguna memandangkan kenaikan tarif yang akan berlaku. Pada masa yang sama, usaha ini tidak harus menghakis keyakinan pasaran modal. Kelewatan penstrukturan semula dan penangguhan semakan semula tarif mempunyai impak langsung ke atas operasi bekalan air di Lembah Klang. Ketika ini, hasil daripada tarif hanya sekadar cukup untuk membayar pembelian air terawat daripada PNSB, Abass dan Splash. Masih terdapat keperluan untuk memperoleh pembiayaan bagi operasi harian untuk pengagihan air termasuk penyenggaraan sistem bekalan, kos pekerja, kos tenaga dan perbelanjaan lain. Di samping itu, sebarang pengurangan bayaran kepada operator rawatan air akan menjejaskan keupayaan pembayaran mereka kepada pemberi pinjaman.

Penyusunan semula ini bertujuan mengelakkan kenaikan tarif air sebanyak 37% yang dijadualkan pada 1 Januari 2009 dalam Perjanjian Konsesi Syabas bertarikh 15 Disember 2004 dan seterusnya kenaikan-kenaikan yang amat tinggi setiap tiga tahun seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

E. ADAKAH KERAJAAN NEGERI SELANGOR PERNAH MEMBERI KOMITMEN UNTUK MENSTRUKTURKAN SEMULA PERKHIDMATAN AIRNYA?

Pada 28 Mei 2008, Kerajaan Negeri Selangor menyatakan hasrat dan komitmennya untuk meneruskan penstrukturan semula yang diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). YB Menteri melalui sepucuk surat bertarikh 19 Jun 2008, menegaskan bahawa PAAB perlu terlibat di peringkat awal bersama KDEB dalam proses penstrukturan ini. Perkara ini telah ditegaskan sekali lagi oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) pada 3 Julai 2008. KDEB telah membentangkan cadangan penstrukturan semula dan mekanisme pembiayaan kepada SPAN pada 18 Ogos 2008. Walau bagaimanapun pada 19 Ogos 2008, Y.A.B. Menteri Besar Selangor telah meminta KTAK untuk menerajui proses penstrukturan semula tersebut. Keputusan KTAK pada waktu itu adalah untuk membenarkan KDEB menyempurnakan proses penstrukturan semula ini, memandangkan KDEB telah menyatakan pihaknya telah menyelesaikan penilaian dan bersedia untuk membuat penawaran pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air di negeri Selangor.

F. ADAKAH KDEB MEMENUHI JANJINYA DENGAN MEMBUAT TAWARAN KEPADA PIHAK KONSESI?

Pada 4 September 2008, KDEB mencadangkan supaya aset-aset konsesi diambil alih oleh PAAB dan dipersetujui bahawa PAAB akan memulakan verifikasi aset pemegang konsesi dan aset Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri dan KDEB juga menyatakan kesediaan mereka untuk membuat tawaran kepada pemegang-pemegang konsesi dan meminta KTAK mengadakan mesyuarat dan menjadi pengantara (moderator) di dalam rundingan tersebut.

Sehubungan ini, satu mesyuarat telah diadakan pada 19 September 2008, tetapi malangnya KDEB tidak membuat tawaran seperti yang dijanjikannya. Sebaliknya KDEB berjanji untuk membuat tawaran kepada setiap pemegang konsesi secara berasingan dalam tempoh seminggu. Bagaimanapun, ini tidak menjadi kenyataan dan tawaran tidak pernah dikemukakan kepada keempat-empat syarikat konsesi air di negeri Selangor.

G. ADAKAH KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KTAK MEMBERI CUKUP MASA KEPADA KERAJAAN NEGERI SELANGOR UNTUK MELAKSANAKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INI?

Kerajaan Negeri Selangor telah diberi cukup masa dan peluang untuk memuktamadkan penyusunan semula ini. Dalam tempoh dari bulan September 2008 sehingga hari ini, jarakmasa (timeline) untuk memuktamadkan tawaran pengambilalihan telah dipinda beberapa kali namun Kerajaan Negeri Selangor masih gagal memuktamadkannya malah sering menukar tempoh sasaran. Empat peluang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri Selangor iaitu 19 September 2008, 31 Disember 2008, 15 Januari 2009 dan 14 Februari 2009.


i) 19 September 2008

Tarikh ini adalah atas permintaan KDEB untuk membuat penawaran bagi mengelakkan kenaikan tarif seperti termaktub di dalam Perjanjian Konsesi Syabas namun KDEB gagal membuat sebarang penawaran.

ii) 31 Disember 2008

Tarikh ini ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memuktamadkan rundingan pengambilalihan bagi mengelakkan kenaikan tarif tetapi sebaliknya telah memohon pula untuk menangguhkan sehingga 30 Mac 2009.

iii) 15 Januari 2009

Tarikh ini yang dipersetujui dalam mesyuarat pada 15 Disember 2008 di antara KTAK dan Kerajaan Negeri Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor memberi maklum balas hasil penawaran sealed price kepada pemegang-pemegang konsesi. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor belum dapat memuktamadkan sealed price berkenaan.

iv) 14 Februari 2009

Maka dengan itu, tarikh akhir baru yang dipersetujui dalam mesyuarat pada 30 Januari 2009 di antara Kementerian dan Kerajaan Negeri Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor memberi maklum balas berhubung hasil penawaran harga kepada sealed price yang berkenaan. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri hanya mengemukakan tawaran pada 13 Februari 2009, sehari sebelum tarikh akhir yang dipersetujui dan meminta pemegang-pemegang konsesi memberikan maklum balas pada 20 Februari 2009. Tindakan ini adalah bercanggah dengan persetujuan yang dibuat pada mesyuarat tersebut.


H. APAKAH PRINSIP YANG DIGUNAKAN UNTUK PENILAIAN ASET MEMANDANGKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR PERNAH MENEKANKAN BAHAWA TAWARAN PAAB MESTILAH LEBIH RENDAH DARI TAWARAN KERAJAAN NEGERI?

Berhubung dengan isu pengambilalihan aset oleh PAAB, penilaian aset adalah berdasarkan prinsip-prinsip perakaunan dan amalan kewangan yang diterima pakai. Oleh yang demikian, isu yang dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri iaitu harga yang ditawarkan oleh PAAB hendaklah lebih rendah atau sama dengan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri, tidak timbul. Ini adalah kerana tawaran PAAB adalah berdasarkan prinsip-prinsip kesaksamaan, ketelusan dan kemampuan untuk melindungi kepentingan pengguna.

Verifikasi telah dilaksanakan oleh juruaudit bebas yang dilantik oleh PAAB. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor juga boleh melantik juruauditnya sendiri untuk meverifikasikan aset demi kesaksamaan dan ketelusan dengan syarat prinsip-prinsip verifikasi adalah sama. Adalah penting, bagi Kerajaan mempertimbangkan implikasi-implikasi ke atas pasaran modal dalam proses penstrukturan semula industri air secara menyeluruh memandangkan ini melibatkan pemegang-pemegang bon dan pemberi pinjaman lain.

I. APAKAH JAMINAN KERAJAAN UNTUK MEMASTIKAN PERKHIDMATAN BEKALAN AIR LEBIH MAPAN DAN EFISYEN DI BAWAH REJIM PELESENAN?

Di bawah rejim pelesenan Akta 655, Kerajaan Persekutuan akan menetapkan syarat-syarat pelesenan dan memastikan ia adil dan berpatutan kepada semua stakeholder. Pulangan kepada pemegang lesen akan dikawal selia dan tertakluk kepada semakan semula dari semasa ke semasa. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh SPAN akan dikenakan kepada pemegang lesen. Pemegang lesen dikehendaki memperbaharui lesen ini setiap tiga tahun. Lesen tidak akan diperbaharui sekiranya pemegang lesen tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta 655 atau terma dan syarat lesen.

J. ADAKAH KERAJAAN PERSEKUTUAN MENGAMBIL SIKAP MENGENEPIKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR DALAM PENSTRUKTURAN PERKHIDMATAN AIR INI?

Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia dan perlu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam rundingan semula memandangkan mereka adalah merupakan pihak yang terlibat dalam perjanjian konsesi yang akan dirundingkan semula. Seperti juga untuk negeri-negeri lain, Kerajaan Persekutuan akan membantu dari segi kerja-kerja sumber termasuk pembiayaan pembinaan empangan sekiranya semua pihak bersetuju berhijrah ke rejim pelesenan dan memindah milik aset kepada PAAB yang akan memanfaatkan semua pihak terutamanya pengguna. Langkah ini juga akan dapat mengelakkan kenaikan tarif sebanyak 31% mulai 1 April 2009 iaitu kadar kenaikan yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara dalam laporannya, walaupun mengikut perjanjian konsesi kadar kenaikan adalah sebanyak 37%. Namun demikian, kadar kenaikan tarif hanya akan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri setelah memperhalusi segala maklumat terkini berhubung kadar air tidak terhasil (NRW) dan perbelanjaan modal (capex).

K. ADAKAH KERAJAAN PERSEKUTUAN MENGAMAL SIKAP DISKRIMINASI DALAM PROSES PENSTRUKTURAN PERKHIDMATAN AIR SELANGOR?

Model penstrukturan semula yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ini telah diterima oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Melaka dengan termeterainya perjanjian pemindahan aset dan liabiliti kepada PAAB. Ini diikuti dengan Kerajaan Negeri Johor di mana perjanjian telah ditandatangani baru-baru ini. Perlu ditekankan bahawa model penstrukturan perkhidmatan air Selangor adalah model yang sama yang telah digunakan untuk menstrukturkan perkhidmatan bekalan air Johor yang telah dilaksanakan dengan jayanya baru-baru ini. Perlu juga ditekankan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan mengamalkan pendekatan yang berunsur diskriminasi terhadap Kerajaan Negeri Selangor walaupun ianya di bawah pentadbiran Kerajaan Pembangkang.


L. APAKAH PRINSIP-PRINSIP YANG TELAH DITETAPKAN OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN BAGI MEMBANTU KERAJAAN NEGERI SELANGOR MENSTRUKTURKAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN BEKALAN AIR NEGERI?

Kerajaan Persekutuan akan membantu Kerajaan Negeri Selangor menstrukturkan semula industri bekalan airnya sekiranya ia mematuhi syarat-syarat dan prinsip-prinsip berikut:

(a) SYABAS yang turut dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui 30% pegangan ekuiti akan dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), sementara tiga syarikat konsesi rawatan air iaitu PNSB, SPLASH dan ABASS dibenarkan meneruskan operasi secara “authorization” di bawah Akta 655 sehingga tamat tempoh konsesi masing-masing, di mana:

· bagi SYABAS, lesen yang akan dicadangkan ialah lesen perkhidmatan untuk membenarkan mereka melaksanakan operasi perkhidmatan air dan penyenggaraan aset. Lesen ini perlu diperbaharui setiap tiga tahun tertakluk kepada pematuhan semua obligasi dan syarat-syarat lesen serta kehendak-kehendak Akta 655;

· bagi PNSB, SPLASH dan ABASS, pihak SPAN akan mengenakan terma-terma tambahan bersekali dengan surat “authorization” yang dikeluarkan kepada setiap syarikat konsesi tersebut;

· margin keuntungan yang berpatutan ditetapkan berasaskan kecekapan operasi dan kewangan kesemua empat syarikat tersebut dan akan dikaji semula dari semasa ke semasa tertakluk kepada indeks prestasi utama (KPI) yang akan dikawal selia sepenuhnya oleh SPAN.

(b) Kadar Pembelian Air Secara Pukal (Bulk Supply Rate [BSR]) akan disemak dan dirundingkan semula ke tahap yang lebih berpatutan dan munasabah;

(c) Tiada kenaikan tarif air pada tahun 2009;

(d) Aset air dan liabiliti berkaitannya, milik keempat-empat pemegang konsesi (SYABAS, PNSB, SPLASH dan ABASS) dan kerajaan negeri akan diambil alih oleh PAAB pada kadar 1 kali nilai buku (1 x book value) yang akan diteliti dan disahkan oleh juruaudit bebas yang dilantik oleh PAAB, sementara liabiliti berkaitan pembiayaan pegangan saham/ekuiti tidak akan diambil alih oleh PAAB; dan

(e) bagi kes di mana liabiliti melebihi nilai aset, kaedah pengambilalihan perlu diperhalusi dan dirundingkan bersama dengan kerajaan negeri.


M. KERAJAAN NEGERI SELANGOR TELAH MENGEMUKAKAN CADANGAN SEOLAH-OLAH IA BOLEH MENGURANGKAN TARIF SEBANYAK 10 PERATUS PADA 2009, 20 PERATUS PADA 2011 DAN 25 PERATUS PADA 2013. MENGAPAKAH CADANGAN INI DIKATAKAN TIDAK PRAKTIKAL?

Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk menjual aset-aset bekalan airnya kepada PAAB pada harga RM9.7 bilion. Kerajaan negeri akan menggunakan hasil jualan asetnya untuk menanggung air percuma dan pengurangan tarif. Akan tetapi PAAB tidak dapat mengambil alih aset kerajaan negeri pada nilai RM9.7 bilion kerana:

i. kerajaan negeri membuat penilaian berasaskan ‘capitalized value’ tetapi andaian asas yang digunakan bagi menetapkan nilai tersebut tidak didedahkan kepada PAAB; dan

ii. aset yang dinilai oleh kerajaan negeri sebanyak RM9.7 bilion termasuk 1,601 tangki air bernilai RM1 bilion yang sebahagiannya dibangunkan oleh pemaju perumahan yang telah pun dibayar oleh pembeli rumah dan lebih 24,000 km paip bernilai RM7.8 bilion yang mana sebahagian besarnya diserahkan oleh pemaju-pemaju perumahan juga sebenarnya telah dibiayai oleh pembeli-pembeli rumah bagi kawasan tersebut. Di samping itu, sebahagian besar paip-paip ini telah pun usang dan perlu diganti pada kadar segera bagi membolehkan kadar air tidak berhasil (Non Revenue Water-NRW) dikurangkan dan kualiti air kepada pengguna ditingkatkan. Oleh yang demikian, pendekatan yang digunakan oleh kerajaan negeri ini adalah untuk PAAB membeli aset yang telah dibayar oleh pembeli rumah yang juga pengguna air di negeri Selangor bagi menampung pembiayaan program pemberian air percuma dan pengurangan tarif pada jangka pendek adalah tidak praktikal. Kaedah penilaian aset Kerajaan Negeri yang begitu tinggi ini sekiranya diterimapakai oleh PAAB akan menyebabkan kadar sewa pajakan kepada syarikat yang menjalankan operasi bekalan air Negeri Selangor meningkat. Kadar sewa pajakan ini akan meningkat lebih mendadak lagi apabila sebahagian besar paip yang telah usang perlu diganti dengan segera.

iii. Oleh yang demikian, berpandukan kepada tanggungan pembiayaan yang tinggi ini yang perlu ditanggung oleh PAAB, adalah tidak munasabah dan sukar untuk mengurangkan tarif air sebagaimana dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

1 comment:

IBU PUSPITA said...

Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,jangan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohan dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI












Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,janan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohon dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI